Khutbah Jumaat 7 Sept 2012 oleh JAIS

http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=1217&Itemid=1

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah “Tarbiyyah Allah Kepada Rasul-Nya : Pengajaran Bagi Manusia”.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Allah SWT mengutuskan Rasul-rasulNya ke alam ini adalah daripada kalangan hamba-Nya yang terpilih.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud;

(Khutbah hari ini disampaikan oleh Imam Hj Zainal Abidin b Tazali)

“Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan makhluk-Nya, maka menjadikan aku yang terbaik dari mereka dalam golongan yang terpilih, kemudian menjadikan mereka dua golongan, dan menjadikan aku yang terbaik dari mereka dalam golongan itu. Kemudian menjadikan mereka bersuku-suku, dan menjadikan aku yang terbaik dalam suku itu. Kemudian menjadikan mereka dalam keluarga-keluarga, dan Allah menjadikan keluargaku yang terbaik di dalam semua keluarga mereka, dan yang terbaik dalam keturunan”.                                                                                                                                        (Riwayat At-Tirmidzi)

Pengutusan Rasulullah S.A.W juga telah membawa kesan yang sangat besar pada penduduk dunia dan seluruhnya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107:

“Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.

Ini bermula dengan wahyu pertama yang diberikan kepada Baginda s.a.w yang berupa tarbiyyah dan didikan bermulanya sesuatu itu dengan pembacaan, pemahaman dan pembelajaran.

Firman Allah SWT dalam surah Al-‘Alaq ayat 1;

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”.

Ayat tersebut mengajar kita bahawa pembudayaan ilmu bermula dengan asas iqra’ sebagaimana Allah SWT menghantarkan Malaikat Jibril untuk mentarbiyyah dan mengajar Muhammad S.A.W membaca. Kemudian dengan itu Nabi mempelajari serta memahami tauhid dan aqidah. Selanjutnya mengenali erti kehidupan di dunia mesti berlandaskan padanya dan berlandaskan syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT sehinggalah kesejahteraan di akhirat itu dapat diraih.

Jom! hadir ke Kuliah Subuh setiap lepas solat subuh – 15 minit je menunggu!

Perhatian!!

Semua para jemaah dipersilakan hadir!

Setiap hari selepas Subuh:  Kuliah subuh kira-kira 15 minit disampaikan oleh Ust Dr Hamzah bin Jaaffar (Merangkap Tuan Nazir Masjid Ar Rahimah, Greenwood)

Kitab Rujukan: Tahbihul Ghafilin (Peringatan bagi orang yang lupa).Oleh Abu Laith Al Samaraqand, PUSTAKA JIWA SDN B ERHAD, 2012, RM50.00.

Untuk lebih bekesan dan dimanfaatkan bawalah bersama kitab seperti dinyatakan di atas.

Insya Allah, jika rajin hadir ke majlis Ilmu ini, kita akan khatam sebuah kitab secara berguru dengan belajar setiap hari walaupun sedikit.
Ianya menjadi lebih bermanaaft jika dapat disampaikan kepada  orang lain (khasnya kepada isteri?suami dan nak-anak) dan boleh pula mengajar kepada orang lain, setalah mendalami kandungan isi yang berkaiutan. Insya Allah!

Khutbah Jumaat 31 Ogos 2012

Khutbah Jumaat 31 Ogos 2012.

Kemerdekaan Menuru Perspektif Islam.

Sedutan khutbah:

“Kemerdekaan hakiki bagi masyarakat Islam pula adalah apabila mereka dapat membebaskan diri daripada pemikiran-pemikiran negatif dan songsang yang telah disebarkan melalui pelbagai media. Akhirnya kita dapati ramai umat Islam pada hari ini memandang Islam sebagai agama yang kolot dan ketinggalan zaman. Mereka menganggap Islam hanya di masjid dan surau. Mereka menganggap Islam tidak mampu menyelesaikan masalah sosial yang berlaku, Islam sebagai agama yang tidak membawa kemajuan kepada umatnya, bahkan mereka juga menganggap Islam sebagai agama yang jumud dan ekstremis. Kesemua tohmahan ini dilontarkan oleh pemikiran dan pemahaman yang lahir hasil dari didikan penjajah sejak berkurun lamanya. Ia tidak lain dan tidak bukan hanyalah bertujuan untuk merosakkan kehidupan masyarakat Islam.”

http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=1215&Itemid=1

Khutbah Hari Raya Aidifitri 19 Ogos 2012-keluaran JAIS

IMG_1822 - Copy - Copy (4)
Khutbah Hari Raya Aidil fitri hari ini di sampaikan oleh Ustz.  Dr Hamzah b Jaaffar, Nazir Masjid Ar Rahimah, Taman Greenwood.

(Berikut ialah teks Khutbah yang disedikan oleh JAIS )

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah
SWT tanpa jemu, dengan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan
segala larangan-Nya, mudah-mudahan Allah memberikan kejayaan
kepada kita,  bahkan memberikan kemenangan yang besar kepada
mereka yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, iaitu mereka yang bertaqwa
daripada kalangan anbia’, syuhada dan solihin, dengan kemenangan yang
besar oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 71;
“(Ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka
sesungguhnya dia telah mencapai kemenangan yang besar”.
Tajuk khutbah hari yang mulia ini ialah “‘Aidulfitri :  Hari Kemengan
Besar Umat Islam”.
Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,

Hari ini bertepatan 1 Syawal, hari yang dikurniakan Allah kepada
umat Islam  untuk  melahirkan kesyukuran setelah berjaya menunaikan
kewajipan berpuasa Ramadhan, membayar zakat fitrah dan solat tarawih
yang hanya dapat kita nikmati pada bulan Ramadhan dan  pada malammalamnya sahaja.   Mengenang bulan Ramadhan yang telah berlalu,
perkara penting dan paling berharga kepada kita di sisi Allah adalah
dianugerahkan sebuah panduan hidup yang menyelamatkan kita dari
kesesatan dan kebinasaan di dunia dan akhirat.  Panduan itu merupakan
pelan aplikasi pelaksanaan yang sangat jelas, baik dalam beribadah
mengabdikan diri kepada Allah mahupun dalam membangun keluarga,
membina masyarakat dan mengurus tadbir siasah negara.
Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,
Al-Quran itulah panduan hidup yang dimaksudkan, tidak tergugat
dengan sebarang keraguan dan apa jua bentuk pemikiran baru, itulah
kitab furqan, dipilih untuk turun dalam bulan Ramadhan, bulan di mana
hati-hati mukmin kembali kepada fitrahnya yang asal, patuh dan tunduk,
dididik dengan lapar dan dahaga, dijinak dengan solat tarawih dan tilawah,
pada ketika jiwa dibentuk dengan qiam bertahajjud di malam al-Qadar.  AlQuran yang disebut sebagai al-furqan yang membezakan, diturunkan untuk membawa perubahan dan perbezaan, menggerakkan perubahan
hidup dari yang buruk kepada yang baik, dari kemunduran kepada 4
kemajuan, dari kejahilan kepada kecerdikan, dari kekufuran kepada
keimanan, dari kegelapan kepada nur hiadayat, dari kezaliman dan
kejahatan manusia kepada keadilan dan kebajikan umat, dari  kebejatan
hidup kepada keberkatan dan rahmat, dari kehinaan kepada kemengan
yang besar, dari kesyirikan taghut kepada keredhaan Allah SWT sahaja.
Demikianlah al-Quran sebagai al-furqan. Firman Allah SWT dalam surah
al-Baqarah ayat 185;
“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi
petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang
menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan
yang salah..”.
Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,
Kemenangan besar ,  hasil amalan baik yang telah terbina
kukuh sepanjang Ramadhan itu, wajiblah dijaga dan dipelihara, syaitan
dan taghut tidak pernah berputus asa, mereka sentiasa datang menjenguk
dalam hidup kita, mereka ingin mengintai-ngintai nafsu kita yang lalai dan
alpa untuk kembali melayani nafsu dengan pelbagai hiburan yang
melampau, pujukan dunia yang menjauhkan kita dari Allah SWT. Mereka
berusaha memujuk manusia mengingkari Allah dan  hukum-hakamnya, 5
mereka itu adalah dari kalangan jin dan manusia, kita diajar supaya
memohon perlindungan daripada segala  perancangan dan program
seperti itu, kerana ia diatur oleh mereka, untuk menimbulkan syak dan
ragu kepada Syariat Islam dan keagungan Allah SWT.
Marilah kita kembali berpegang kepada Syariat Allah, mengalunkan
sebanyak-banyak istighfar dan zikir, berzikirlah terus menerus mengingati
Allah dan terus mengasingkan diri daripada kemaksiatan dunia dan
hiburan yang melampau, mendampingi majlis-majlis ilmu, menghampiri
orang-orang yang berjihad di jalan Allah dan bersama-sama dengan
orang-orang yang soleh yang sentiasa menceburkan diri dalam
perkhidmatan kebajikan dan kemasyarakatan yang dituntut oleh agama
dan tidak bercanggah dengan Syariat.
Amalan baik bulan Ramdhan hendaklah diteruskan, berpuasa enam
hari di bulan Syawal jangan ditinggalkan, kita terus dituntut menginfaqkan
harta melalui derma dan sedekah bagi mencari keredhaan Allah SWT,
kerana membantu orang miskin, diberi pahala 10 kali ganda.  Jika kita
membantu mereka yang berjuang di jalan Allah, diberi pahala oleh Allah
sehingga 700 kali ganda.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261;
“Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan
hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan
tujuh tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Allah
melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah
Maha Luas (kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui”.
Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,
Semenjak matahari terbenam di akhir Ramadhan semalam,
hinggalah ke pagi ini, umat Islam seluruh dunia berhimpun membesarkan
Allah, melaungkan takbir dengan ucapan yang  bergema di angkasa,
ucapan yang dibanggakan seluruh makhluk Allah di langit, kecuali syaitan,
iblis dan taghut yang lari jauh dengan kecewa, kerana manusia
melaungkan takbir dan berjanji menegakkan Syariat Allah, serta
membesarkannya dengan gema takbir;
“Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha
Besar, Tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Allah Yang
Maha Besar,  Allah Yang Maha Besar,  dan hanya bagi Allah sahajalah
yang paling layak segala pujian, Allah itu Maha Besar dari segala
kebesaran, dan bagi Allah sahajalah yang paling layak mendapat segala
pujian yang sebanyak-banyaknya, dan Maha suci Allah sepanjang pagi
dan petang.
Tidak ada Tuhan yang mesti disembah melainkan Allah, dan sekalikali kami tidak menyembah tunduk patuh kecuali hanya kepada Allah
dengan sepenuh-penuh keikhlasan dan bagi Allah sahajalah semuliamulia agama sebagai cara hidup, sekalipun menjadi kebencian orangorang kafir, iaitu orang yang ingkar kepada Allah.
Tidak ada Tuhan yang mesti disembah melainkan hanya Allah yang
Esa, Allah yang sebenar-benar menunaikan janji-Nya, yang benar-benar
menolong hamba-Nya (nabi-Nya), yang memuliakan dengan kemenangan
kepada tentera-tentera-Nya, yang sekaligus menghancur leburkan barisan 8
musuhnya, tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Allah itu
Maha Besar, Allah itu Maha Besar, dan hanya Allah sahajalah yang paling
layak mendapat segala pujian”.
Berapa banyak kita bertakbir membesarkan Allah? Sepanjang
Ramadhan kita berikrar dalam solat fardu dan sunat tarawih, setiap rakaat
dari mula takbir kita mengucapkan Allahu Akbar,  apabila  ruku’ kita
bertakbir, sujud kita bertakbir, duduk antara dua sujud kita bertakbir, sujud
kedua kita bertakbir dan bangun dari sujud kita bertakbir lagi,  dalam  5
waktu  kita solat fardu dengan 17 rakaat, maka 85 kali kita bertakbir
membesarkan Allah, jika kita merujuk kepada asal sejarah kefardhuan
solat ialah 50 waktu, maka hakikatnya kita telah mengucapkan takbir 4250
kali. Itulah janji, bai’ah atau sumpah taat setia kita ketika kita beribadah
menghadap Allah setiap hari.
Justeru, apakah benar kita membesarkan Allah? Atau nafsu sarakah
kita yang lebih besar daripada Allah, benarkah sumpah kita bahawa Allah
itu Maha Besar? Atau pangkat, harta, kedudukan, gelaran kita yang lebih
besar daripada Allah?. Benarkah Allah yang kita ucapkan itu Maha Besar?
Atau arahan kita, rancangan kita, pandangan kita, idea kita, ataupun dunia
yang kita perjuangkan yang jauh daripada Allah itu lebih besar?.
Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,
Kita telah berikrar, berjanji untuk mengabdikan hidup kita kepada
Allah semata-mata, selaras dengan matlamat kita dijadikan Allah, kita 9
mengucapkan 3 ayat dalam surah Fatihah pada setiap rakaat, 5 waktu
setiap hari;
“Hanya kepada Engkau (Ya Allah) Kami beribadah dan hanya
kepada Engkau kami memohon pertolongan”.
“Bimbinglah kami ke jalan yang lurus”.
“Iaitu jalan yang Engkau telah anugerahkan nikmat kepada mereka,
bukan jalan orang yang dimurkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat”.
Ketiga-tiga  ayat dalam surah al-Fatihah yang dibaca pada setiap
rakaat itu, merupakan ikrar  dan doa sebagai seorang Islam di hadapan
Allah SWT, maka sebanyak 51 kali kita berjanji sepanjang 5 waktu solat
yang difardhukan kepada kita pada setiap hari.
Justeru itu, marilah kita Tanya pada diri kita sendiri;
1) Benarkah kita mengabdikan diri menyembah Allah atau meletakkan
nafsu sebagai berhala yang kita sembah, sedangkan nafsu itu sering 10
tunduk kepada syaitan dan dunia yang menjauhkan kita daripada
Allah?
2) Benarkah kita meletakkan permohonan kita hanya kepada Allah
sahaja? atau kita masih terikat  dan bersandar kepada bantuan
manusia selain Allah?
3) Benarkah kita hanya memohon pertunjuk hidayat Allah ke jalan
hidup Islam yang kita janjikan di hadapan Allah? atau ada petunjuk
lain, syariat lain, hukum hakam yang lain, atau rujukan yang lain
selain daripada Islam?
Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,
Marilah kita terus memelihara diri kita daripada hasutan syaitan yang
memujuk kita melakukan perkara-perkara yang  Allah benci. Syaitan
menjanjikan kita dengan kesenangan sekiranya kita sanggup berbohong,
membuat fitnah dan tuduhan palsu, bersifat sombong dan takbur.  Syaitan
suka memperdayakan kita supaya melakukan rasuah, menyelewengkan
kuasa yang diamanahkan kepada kita, melakukan hasad dengki dan
bersifat mazmumah yang dicela oleh Allah.  Sifat tersebut akan
menghapuskan pahala amalan kita dan akan dihumban ke dalam api
neraka. Sabda Rasulullah s.a.w.;
ﺇﹺ
“Jauhilah dirimu daripada perasaan hasad dengki, kerana
sesungguhnya dengki itu memakan kebajikan-kebajikan seperti api
memakan kayu”.
(Riwayat Bukhari Muslim)
Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,
Jelaslah bahawa  ‘Aidulfitri bermaksud hari perayaan di atas
kemenangan fitrah kejadian kita, kerana memang manusia dicipta oleh
Allah dalam fitrah yang suci bersih.  Untuk mencapai matlamat tersebut,
segala prasarana kehidupan manusia disediakan oleh Allah bagi
memudahkan pengabdian diri kepada-Nya.
Kita diperintahkan bertakbir beribu-ribu kali setiap hari,
membesarkan Allah dan mengagungkan-Nya, kita diperintah
mengabdikan diri dan meminta pertolongan hanya kepadaNya dan
memohon pertunjuk ke jalan yang benar iaitu Islam.
Dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang Islam, kita diarah
menolak budaya hidup sepertimana kehidupan Yahudi dan Kristian yang
dimurkai Allah kerana dipenuhi dengan budaya sombong, suka menabur
fitnah dan samasekali tidak dapat menerima cara hidup Islam, suka
berdengki sesama sendiri, tuduh-menuduh,  fitnah-memfitnah dan hasutmenghasut yang semuanya itu adalah sifat mazmumah yang dicela Allah.
“Syaitan itu menjanjikan kamu dengan kefakiran dan menyuruh kamu
melakukan perbuatan yang keji, sedang Allah menjanjikan kamu
keampunan daripadaNya serta kelebihan kurnia-Nya dan Allah Maha Luas
limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya”.
(Al-Baqarah : 268)

Khutbah Jumaat keluaran JAIS 24 Ogos 2012 – “Gejala Fitnah Meruntuhkan Ummah”

“GEJALA FITNAH MERUNTUHKAN UMMAH ”
Khutbah Jumaat – 24 Ogos 2012

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya selamat dan berjaya di dunia serta di akhirat.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah “Gejala Fitnah Meruntuhkan Ummah”.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Fitnah bermaksud tuduhan sama ada berita, kisah dan sebagainya yang diada-adakan bertujuan memburukkan atau memusnahkan seseorang, sesebuah institusi atau kumpulan dan seumpamanya. Dalam zaman serba moden dan era teknologi ini, penyebaran fitnah mudah berlaku sama ada melalui siaran televisyen atau radio, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mail, laman sesawang atau blog dan sebagainya. Penyebaran berita fitnah tersebut berlaku dengan cepat, meluas dan mudah diperolehi tanpa sebarang kewaspadaan untuk menyelidik maklumat yang diterima seterusnya tanpa teragak-agak disampaikan kepada yang lain. Sikap ini amat ditegah oleh Islam. Ini kerana Islam menganjurkan umatnya agar setiap berita yang sampai terutamanya melalui orang yang digolongkan sebagai fasik iaitu mereka yang tidak mempedulikan perintah Allah SWT tanpa diselidiki terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada yang lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6:

“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Berdasarkan ayat tersebut, wajib bagi setiap Muslim menghalusi segala berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita yang diterima terlebih dahulu perlu dipastikan kebenarannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah. Budaya menabur fitnah adalah sesuatu yang keji dan amat dibenci oleh Islam sehingga ianya dikategorikan sebagai dosa besar dalam Islam.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Menabur fitnah dengan mengumpat dan sebagainya berlaku sama ada disedari atau tidak, termasuk dalam sikap buruk apabila seseorang menyebut atau menceritakan keburukan seseorang biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Penyebar berita biasanya menyebut “dengar khabar” atau “khabar angin”. Bagaimanapun, apabila berita tersebut disampaikan daripada seorang ke seorang, diulang-ulangkan, maklumat yang belum sahih itu seolah-olah sudah menjadi fakta dan berita benar.

Antara ancaman dan dosa fitnah dan penabur fitnah yang disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunnah ialah:

Pertama : Penabur fitnah dan pengumpat disifatkan sebagai sekeji-keji manusia.

Hadis daripada Abdul Rahman Al-Ghanmi R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah”.

(Riwayat Imam Ahmad)

Kedua : Menabur fitnah dan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudara seagama. Sesungguhnya manusia yang waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 12:

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa; janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.

Ketiga : Penabur fitnah dan pengumpat disiksa di dalam kubur.

Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya mereka berdua diazab dan tidaklah mereka berdua diazab disebabkan dosa-dosa besar yang mereka lakukan tetapi disebabkan salah seorang mereka tidak dapat mengetuskan air kencingnya dan seorang lagi memecah belahkan masyarakat dengan berjalan menabur fitnah”. (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Keempat : Nabi s.a.w. menyebutkan bahawa penabur fitnah tidak masuk Syurga.

Hadis daripada Huzaifah R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidak masuk Syurga orang yang suka menabur fitnah”. (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Selain ancaman dan dosa fitnah dan penabur fitnah sebagaimana yang disebutkan oleh syarak, fitnah juga turut membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat. Antaranya ialah:

Pertama : Dosa pembuat dan penyebar fitnah disifatkan sebagai dosa sesama manusia. Dosa ini tidak akan diampunkan kecuali orang yang difitnah memaafkan perbuatan tersebut. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Kerana itu mereka mudah menyebarkan berita tanpa usul periksa.

Kedua : Fitnah memecahbelahkan rumahtangga dan merosakkan masyarakat. Kerana fitnah, hubungan adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sebagainya akan hancur dan membawa kepada permusuhan yang berkekalan. Bahkan perbuatan menyebar fitnah diumpamakan sebagai api yang membakar ranting kering kerana ia cepat merebak sehingga akhirnya menjadi abu.

Ketiga : Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Sikap seperti ini bertujuan menonjolkan diri dan menganggap dirinya lebih baik atau lebih layak berbanding orang yang diburukkan. Banyak pihak yang terbabit dengan penyebaran fitnah ini terkadang tidak mempunyai sebarang kepentingan pun. Tetapi, disebabkan amalan tersebut sudah menjadi kebiasaan, walaupun ianya hina namun dapat memberi satu kepuasan kepada pelakunya.

Keempat : Budaya menabur fitnah boleh menganggu gugat kestabilan dan keamanan Negara. Oleh itu, usah biarkan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling sebagai mereka yang mencemarkan negara ini dengan menimbulkan huru-hara kesan daripada fitnah-fitnah yang dibuat dan disebarkan.

Kelima : Fitnah boleh mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang individu dan perkumpulan, begitu juga ia boleh menyebabkan kerugian dari segi kewangan. Ini kerana saman malu boleh dibuat terhadap penyebar fitnah dan bakal mengakibatkan kerugian yang besar dari sudut kewangan, emosi dan sebagainya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kesimpulan khutbah yang dapat disampaikan pada hari ini ialah:

Pertama : Membuat dan menyebarkan fitnah merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar yang dikutuk oleh syarak.

Kedua : Beratnya ancaman dan siksaaan terhadap dosa fitnah dan penabur fitnah sebagaimana yang tercatat di dalam ayat al-Quran dan hadis-hadis yang banyak.

Ketiga : Wajib bagi setiap individu Muslim untuk menghalusi setiap berita yang diterima terutamanya khabar atau berita yang dilabel sebagai “khabar angin” atau “dengar khabar” supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.

Keempat : Budaya menabur fitnah adalah sikap yang amat keji kerana ianya bakal memecahbelahkan kesatuan rumahtangga, merosakkan masyarakat dan menganggu gugat kestabilan serta keamanan Negara.

Kelima : Segala persengketaan atau kekeliruan tidak akan dapat diselesaikan melalui budaya menabur fitnah. Sebaliknya, segala permasalahan akan selesai apabila wujudnya sikap merendah diri, bertolak ansur dan saling memaafkan.

“Sesiapa yang mengganggu serta menyakiti lelaki yang beriman dan wanita yang beriman (dengan perkataan atau perbuatan) yang tidak menepati kesalahan yang dilakukan oleh mereka, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata”.

(Al-Ahzab: 58)

(Sedutan Khutbah Jumaat JAIS (24gos 2012)

Ucapan Tuan Nazir Masjid Ar Rahimah sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1433

Assalamualikum wkt,
Saya panjatkan segala puji kepada Allah pemilik sekalian alam lagi Maha tinggi. Saya ucapkan selawat dan salam kepada sekalian Nabi dan Rasulnya dan Rasul penutup iaitiu penghulu kita Nabi Muhammad saw, dan kepada keluarga, sahabat dan seklaian muslimin dan muslimat.
Bersempena dengan menjelangnya syawal tahun ini sukacita saya mengambil peluang keemasan ini untuk menyampaikan ucapan aluan sempena perayaan idilfitri buat kali pertamanya sejak saya dilantik sebagai Nazir Masjid Ar Rahimah mulai 1 Jun lalu. Tempoh sebulan ramadhan berpuasa telah berakhir diikuti dengan menjelangnya bulan syawal. Bagi kita umat Islam yang sudah biasa dengan suasana berpuasa, masa sebulan dirasakan begitu cepat sekali berlalu. Selepas ini dalam masa setahun akan datang baru kita akan bertemu dengan ramadhan sekali lagi. Itu pun jika ditakdirkan Allah swt melanjutkan usia kita , kalau tidak ramadhan tahun ini ialah yang terakhir bagi kita. Mudah-mudahan Allah akan melanjutkan umur kita untuk kita terus mengabdikan diri serta beribadat kepadaNya dengan sebaik-baik mungkin untuk mendapat keredhaanAllah.
Sepanjang bulan ramadhan yang telah berlalu adalah diharapkan kita telah sama-sama dapat merebut peluang menjalani berbagai amalan ibadat selain daripada puasa. Aktiviti-aktiviti ini juga telah berlaku di masjid qaraiah kita iaitu Masjid Ar Rahimah, Taman Greenwood. Antara amalan yang telah dapat kita sama-sama menjayakannnya ialah solat waktu berjemaah, solat sunat terawih, Majlis-majlis tazkirah, Majlis berbuka puasa dan Qiamulail di Masjid dan seterusnya solat sunat hari raya idilfitri. Dengan amalan-amalan yang terancang yang dilakukan sama ada di rumah atau di masjid dan surau, kita telah dapat mendidik diri jiwa kita menjadikan insan ynag bertaqwa dengan yang diperlukan sebagai seorang Mukmin. Sesuai dengan firman Allah dalam surah Al Baqarah:183-184 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang beriman , diiwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.
Taqwa yang dikehendaki adalah menjadi matlamat kita iaitu untuk menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah swt, dengan melakksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya, menjauh larangan serta tidak melakukan perbuatan maksiat. semoga selama sebulan kita benar-benar memberi fokus untuk mencapat taraf ketqwaan yang tinggi dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.
Saya bagi pihak AJK Pengurusan Masjid dan Pegawai serta kakitangan Masjid ArRahimah ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah dan terima kasih kepada semua ahli qariah yang telah bekerjasama mengimarakkan masjid kita dengan kegiatan beribadat sepanjang bulan ramadhan dan juga telah sama-sama memberikan infak serta derma ikhlas dalam bentu barangan dan kewanagn bagi menjayakan aktiviti sempena bulan ramadhan tahun ini. Tanpa sokongan serta sumbangan yang telah tuan/puan banyak yang hulurkan, tidak mungkin pihak pengurusan masjid ini dapat menaja dan mengadakan pelbagai aktiviti ramadhan untuk memberi peluang kepad ahli qariah menikmatinya. Sebagai contoh Majlis berbuka puasa, Majlis Tazkirah dan menugaskan seorang Imam al Hafiz dari luar tidak mungkin dapat diuruskan tanpa sokongan kewangan yang agak besar dari ahli qariah kita.
Sebagimana yang dijanjikan Allah akan memberikan ganjaran yang berlipat ganda kepada umat Islam jika di bandingkan dengan bulan-bulan lain dengan melalui amal ibadat yang kita laku. Sebagaimana maksud hadis di bawah ini
Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi saw, beliau bersabda: “Sesiapa yang berpuasa di bulan ramadhan dengan keimanan dan dengan perhitungan (dengan ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah) diampuni Tuhan segala dosanya yang terdahulu”.
-(HR Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hirairah r.a ia berkata: telah bersabda Rasulullah saw:
“Tiap-tiap amalan anak Adam dipergandakan pahalanya antara sepuluh sampai 700 kali, Allah Azza Wajalla telah berfirman: “Kecuali puasa , kerana sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku lah yang akan membalasnya, ditinggalkannya keinginan hawa nafsunya dan makananya kerana Aku semata-mata”.
- (HR Muslim).

Dari Sahal bin Saad r.a. Sesungguhnya Nabi saw bersabda:
“ Sesungguhnya di dalam Syurga ada sebuah pintu yang dinamakan orang Ar Rayyan yang akan memasukkannya pada hari kiamat oleh orang-orang yang berpuasa dan tidak seorang juga akan memasukkinya selain mereka”.

-(HR Bukhari dan Muslim)
Semoga Allah akan memberikan balasan syurga kepada kita semua setelah kita menjalani perintah yang diwajibkan iaitu berpuasa dan mejalankan amalan -amalan sunat lain yang diberikan pahala ibadat fardhu. Dengan kita memberikan perhatian dan perancangan yang teliti semasa bulan ramadhan, adalah diharapkan semangat dan kesinambungan amalan ramadhan yang kita lalui dan ditarbiahkan ini kita akan dapat di perkukuhkan lagi amal ibadat kita di bulan-bulan mendatang selepas ramadhan ini.
Kami juga ingin mengucapakan selamat bergembira dengan suasana menyambut hari raya idilfitri klai ini dan merasakan kesyukuran terhadap Allah swt yang telah memberikan kekuatan dan kesihatan fizikal dan mental serta kemudahan untuk mengabdikan diri kepadaNya sepanjanng ramadhan. Kami juga ingin memohon maaf di atas sebarang kekurangan dan kesilapan yang mungkin berlaku sepanjang ramadhan yang tidak dirancang semasa kami mengurus dan melaksanakan aktiviti ramadhan yang mengguris perasaan para jemaah sekalian. Diharapkan sebarang kemusykilan dan kekurangan akan dapat dimaafkan dan insya Allah di tahun akan datang kami akan seberapa yang boleh memperbaiki lagi segala kekurangan yang ditempuhi.
Kami juga berharap semangat gotong dan kerjasama yang telah diberikan dari segi tenaga, buah fikiran , kewangan dan moral di kalangan para ahli qariah akan dapat diterus dan di pertingkatakan di masa akan datang bagi mencapai kejayaan yang lebih baik lagi cemerlang.
Wabillihi taufiq wal hidayah.
Saya yang ikhlas
Dr HAMZAH BIN JAAFFAR
Nazir,
Masjid ar Rahimah,
Taman Greenwood.
28 Ramadhan 1433/18 Ogos 2012.

Selamat Menyambut Hari raya Idilfitri 1433

Bagi pihak JawatanKuasa Pengurusan, Pegawai dan kakitangan Masjid Ar Rahimah, kami ,mengucapkan selamat meyambut Hari Raya Idilfitri bagi tahun 1433 kepada semua ahli qariah peminat laman web dan facebook, Masjid Ar Rahimah.

Usaha gigih dan pengorbanan tuan/ puan sepanjnag bulan ramadhan akan meningkatkan lagi ketaqwaan ke derajat yang lebih tinggi. Semoga Allah memberikan keberkatan, kerahmatan dan mengampunkan dosa-dosa kita semua untuk mendapatkan keredhaanNya ia itu Syurga.

Maaf zahir dan bathin.
b/Pengurusan Laman web,
Masjid Ar Rahimah. Taman Greenwood.

Solat Sunat Hari Raya Idilfitri

Pengumuman:

Solat sunat Hari Raya idilfitri 1433 di Masjid Ar Rahimah, Taman Greenwood akan di adakan pada :

Tarikh:  19 Ogos 2012
Hari : Ahad
Masa: 8.30 pagi.

Para jemaah bolehlah datang seawal 7.30 pagi untuk bertakbir beramai-ramai sebelum solat dimulakan pada 8.30 pagi.
Minta hebahkan kepada semua ahli qariah untuk datang dan bersola t beramai-ramai.

Sedikit Panduan mengenai Idilfitri.

1. Solat Sunat Hari Raya merupakan antara solat sunat yang dilakukan pada Hari raya Fitri atau Hari Raya Adha. Ia mula disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Solat Aidilfitri adalah sunat Muakkad (sangat digalakkan) dan disyariatkan oleh Allah SWT pada bulan Syawal, tahun pertama Hijrah. Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat terus melakukannya selepas itu.

2. Solat sunat Aidilfitri dilakukan antara waktu setelah terbit matahari sehingga sebelum tergelincir matahari. Ia disyari’atkan berjamaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang bebas atau hamba, sama ada di surau, masjid ataupun di kawasan lapang yang terbuka. Adalah lebih afdal, jika dilakukan secara berjemaah dan sesudahnya dibacakan dua Khutbah. Walaubagaimana pun, ia boleh dilakukan secara bersendirian.

Solat sunat Aidilfitri hendaklah dilambatkan sedikit, sedangkan solat hari raya korban perlu disegerakan. Melewatkan solat Aidilfitri bertujuan memberi masa bagi sesiapa belum mengeluarkan zakat fitrah. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum menunaikan solat Aidilfitri.

3. Tujuan bersolat pada Hari Raya ini ialah untuk mengucapkan syukur kehadrat Allah SWT kerana telah memberi peluang kepada umat Islam berpuasa selama sebulan, pada bulan Ramadhan yang penuh berkat disamping dapat memperbanyakkan ibadah kerana pada bulan ini Allah SWT melipat gandakan pahala ibadah serta dipermudahkan-Nya ibadah dengan pengurungan syaitan.

Umat Islam juga berpeluang berkumpul dan memuji Allah SWT. Setelah beribadah selama sebulan meminta ampun kepada Allah, maka tibalah masa untuk bermaaf-mafan sesama manusia pula. Pertemuan di majlis seumpama ini, membolehkan masing-masing saling bermaaf-maafan dan mempereratkan  tali silatul-rahim sesama Muslim.

4. Lafaz takbir hari raya.

Sunat memperbanyak lafaz takbir pada malam dan sepanjang Hari Raya Fitri

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَر ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَر أللهُ أَكْبَر وَِللهِ الْحَمْدُ . اللهُ أَكْبَر كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهً وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْن . لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ ، صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ، وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَِللهِ الْحَمْدُ

.

5.     CARA SOLAT AIDIL FITRI

Para ulama telah ijma’ tentang cara-cara solat hari raya berdasarkan hadith;

“Amru bin ‘Auf Al-Muzani RA meriwayatkan Nabi SAW bertakbir ketika solat dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) , pada rakaat yang pertama sebanyak 7 kali sebelum membaca Fatihah dan pada rakaat yang akhir sebanyak 5 kali sebelum membaca Fatihah.”

.

1.  Niat:

.

2.  Bacaan surah selepas Al-Fatihah:

Rakaat pertama: Surah Al-Qaf atau al-A’laa atau Al-Kafirun.

Rakaat kedua: Surah Al-Qamar atau Al-Ghasyiah atau Al-Ikhlas.

.

6..  Cara Perlaksanaan Solat Aidil Fitri

.

1.  Pada rakaat pertama:

a.       Selepas Takbiratul-ihram dan doa Iftitah, bertakbir (اَلله ُ اَكْبَرُ) tujuh kali yang diselangi tasbih:

.

b.     Setelah bertakbir dan bacaan tasbih ke-tujuh, bacalah surah al-Fatihah dan surah pilihan.

c.      Lakukan rukun seterusnya seperti solat biasa.

.

.

7.  Rakaat ke-dua:

a.      Bertakbir lima kali, diselangi tasbih seperti rakaat pertama.

b.     Disambung dengan bacaan al-Fatihah dan surah pilihan.

c.      Teruskan sebagaimana solat yang lain sehingga selesai salam ke-dua.

.

.

7.  Khutbah Solat Aidilfitri

Imam memperdengarkan Khutbah tentang zakat fitrah dan pengertian sambutan Aidilfitri sesudah solat di samping membacakan berturut-turut takbir  (اَلله ُ أَكْبَرُ) Allahu Akbar;

1.     Pada pendahuluan khutbah pertama – 9 kali takbir.

2.     Semasa memulakan khutbah ke-dua – 7 kali takbir.

Diikuti dengan bacaan:

لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَالله ُ أَكْبَرُ، اَلله ُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala kepujian.


9.  Perempuan

Pada Hari Raya semua umat Islam termasuk perempuan yang haid, dituntut meramaikan perhimpunan solat Hari Raya, bertakbir dan berdoa bersama-sama, bagi mendapatkan keberkatan dan kesucian hari itu, walaupun tidak ikut sama bersolat. Perempuan yang berhias atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.

.

.

8.  Adab Solat Aidilfitri

1.  Menjamah sedikit makanan terutama tamar sebelum keluar bersolat sunat hari raya. Anas bin Malik menyebut: “Adalah Nabi SAW tidak akan keluar untuk solat Aidilfitri sehinggalah baginda memakan buah tamar terlebih dulu dengan bilangan yang ganjil (tiga atau lima atau tujuh biji).

2. Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid sekiranya tidak terlalu jauh.

3. Pergi ke masjid menggunakan jalan yang berbeza dengan jalan pulang, agar dapat bertemu dan bermaafan dengan ramai kenalan.

4. Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.

5. Bersedekah dan bertahlil secara jemaah selepas solat sunat Aidil Fitri.

6.Membanyakkan membaca takbir, tasbih, tahmid memuji kebesaran Allah SWT.

7.Apabila selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri maka digalakkan bersalam-salaman kerana ia adalah cara terbaik memohon keampunan sesama insan.

8. Apabila hari raya jatuh pada hari Jum’at, maka solat Jum’at menjadi sunnah, boleh diadakan dan boleh tidak tetapi untuk lebih afdal, khariah masjid jami’ sebaiknya tetap mengadakan solat Jum’at.

Senarai Ahli J/K Masjid dan Kakitangan.

Senarai Ahli AJK.

(Perlantikan mulai 1 Jun 2012 hingga 10 Mei 1215)

Nazir: Dr. Hamzah b Jaaffar
Timb. Nazir: Hj Nik Azmi b. Nik Yaacob
Setiausaha: Hj Rahmat b Misran
Bendahari: Mohd Nasarudin B. Abdul Mubin.

Hj. Azali b. Setapa
En.Mohd Muhaimin b Muhammaddin
En. Ahmad Junaidi b. Tajuddin
Hj Ramli b Abd Rashid
En. Hamidon b. Pawanteh
Haji Ahmad b Abu
En Rejab b  L. Man
En. Mohd Iqman b Ibrahim
Pn. Zainab bt Ahmad
Hj. Ramli b Abdul Rahid

Senarai Pegawai dan kakitangan masjid.

Hj.Zainal Abdidin b. Tazali
Ust.Ramli b Mohd Nor
Ust. Shabudin b Mat Ali

Ust.Md. Salleh b Abu Bakar
Hj. Abdullah Suhaimi b Idris

Hj. Wan Ab. Manas b  Wan Hamid
Hj Abdul Latib b. Hj Abd Aziz

Khutbah Jumaat keluaran JAIS 17 Ogos 2012

“MENGHIDUPKAN AKHIR RAMADHAN”
Khutbah Jumaat – 17 Ogos 2012

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Di bulan dan di hari yang mulia ini, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Bulan yang dijanjikan oleh Allah SWT pada awalnya mendapat rahmat, pertengahannya keampunan dari Allah SWT dan penghujungnya pembebasan dari api neraka.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah “Menghidupkan Akhir Ramadhan”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Samada kita sedar ataupun tidak, kita telah melewati dua pertiga Ramadhan. Hari-hari yang bakal kita tempuhi adalah hari-hari terakhir yang penuh dengan pelbagai tawaran yang amat menakjubkan daripada Allah SWT.

Dalam mengoptimumkan amalan kita di hari-hari terakhir Ramadhan ini, Rasulullah s.a.w telah memberikan garis panduan yang jelas untuk kita teladani.

Hadis daripada ummul mukminin bahawa Saidatina ‘Aisyah r.a. berkata:

“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila menjelang 10 hari (yang akhir daripada bulan Ramadan), maka Baginda menghidupkan malam-malam Ramadan, dan Baginda mengejutkan ahli keluarganya bangun beribadah kepada Allah, dan Baginda lebih tekun beribadat, dan mengetatkan kain (tidak mendekati isteri-isteri Baginda di dalam lingkungan masa tersebut)”. (Riwayat Muslim)

Manakala dalam hadith lain daripada ummul mukminin bahawa Saidatina ‘Aisyah r.a berkata:

“Adalah Rasulullah s.a.w. lebih giat beribadat pada sepuluh terakhir (bulan Ramadhan) melebihi hari-hari lainnya”. (Riwayat Muslim)

Kedua-dua hadith ini menjelaskan pendirian serta amalan Rasululah s.a.w. menjelang sepuluh terakhir bulan Ramadan. Pendirian Rasulullah s.a.w. adalah mesti menggandakan aktiviti ibadat kepada Allah SWT; mesti lebih banyak berbanding dengan sebelumnya. Ini kerana hari-hari terkahir ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Manakala daripada segi amalan pula, Baginda s.a.w. melipatgandakan aktiviti ibadah; mendirikan malam (qiamullail), mengejutkan ahli keluarganya supaya sama-sama mengambil bahagian beribadat kepada Allah SWT, menghidupkan malam dengan solat-solat sunat, memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran, memohon keampunan kepada Allah SWT, beriktikaf di masjid dan berderma ke jalan Allah SWT.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sebagai menyahut seruan dan saranan Rasulullah s.a.w di dalam menghidupkan sepuluh terakhir Ramadhan, langkah dan aktiviti ibadah berikut perlulah kita lakukan:

Pertama : Mempertingkatkan niat dan azam untuk menghidupkan sepuluh terakhir Ramadhan. Dengan azam yang kukuh, InsyaAllah kita mampu menghidupkan Ramadhan dengan penuh bersemangat dan beristiqamah.

Kedua : Membuat perancangan yang teliti segala aktiviti ibadat yang ingin dilakukan. Ini penting supaya aktiviti ibadat yang dirancang tidak akan tergendala separuh jalan sahaja. Sekiranya kita mampu merancang untuk perkara-perkara lain dalam kehidupan kita seharian, maka aktiviti Ramadhanpun mestilah mampu kita rancangkan. Perancangan ini melibatkan perlaksanaan ibadat secara menyeluruh pada siang hari dan juga malamnya.

Realiti hidup bekerja mencari rezeki terkadang menjadikan kita lupa erti ibadat yang sebenar. Untuk menghidupkan sunnah Nabi ini, maka perlulah kita melaksanakan konsep ibadat dalam bekerja. Kita perlulah bekerja sambil berzikir, mencari rezeki sambil mendengar al-Quran, menjalankan tugas dengan mengambil peluang yang diizinkan untuk mengerjakan solat sunat Dhuha, mencari rezeki sambil berdoa dan beristighfar kepada Allah SWT dan begitu jugalah segala aktiviti yang lain.

Perancangan ibadat di waktu malam juga perlulah dilakukan dengan teliti. Perancangan ini berkaitrapat dengan cara pemakanan seseorang. Berbukalah sekadar mengalas perut dan bukannya seperti mereka yang tidak menjamah makanan beberapa hari. Berbuka puasa secara sihat dapat mempertingkatkan stamina untuk beribadat di malam hari.

Ketiga : Lakukan aktiviti ibadat waktu malam secara teratur dan mengikut keselesaan masing-masing, antaranya;

1. Mendirikan solat sunat terawih secara berjamaah di masjid ataupun surau serta dengan memperbanyakkan bacaan al-Quran dan menghayati maknanya.

2. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT tanpa mengenal erti penat dan jemu.

3. Mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan zikir memohon keampunan daripada-Nya. InsyaAllah! Allah SWT tidak pernah jemu mendengar permintaan hamba-Nya sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 186:

“Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka), Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Antara doa Rasulullah s.a.w. menjelang sepuluh terakhir Ramadhan adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud iaitu:

“Wahai Tuhanku sesungguhnya Kamu amat pemaaf, Kamu amat suka memaafkan , maka maafkanlah daku”.

Selain daripada solat sunat tarawih digalakkan juga melakukan solat sunat tasbih, tahajjud, hajat, taubat, witir, beriktikaf dalam masjid dan juga memperbanyakkan sedekah.

Contohilah Rasulullah s.a.w. di mana Baginda merupakan orang yang paling banyak bersedekah terutamanya di bulan Ramadhan. Sifat pemurah Nabi ini diceritakan oleh Abdullah bin Abbas sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Disamping itu, Rasulullah juga, berusaha dengan bersungguh-sungguh melakukan ibadat di malam hari untuk mendapatkan lailatul qadar.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam konteks kehidupan pada hari ini, kita bersyukur kerana ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini telah bertungkus lumus menyediakan pelbagai program untuk menghidupkan suasana di bulan Ramadhan. Ini menunjukkan sikap prihatin mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan agama. Bahkan untuk memastikan setiap ahli qariah mendapat peluang beribadat kepada Allah SWT dengan lebih baik dan sempurna.

Maka, pada hari ini tidak timbul lagi persoalan bagi seseorang itu untuk berkata bahawa “saya tidak mampu menghidupkan Ramadhan”, atau “saya tidak mempunyai panduan untuk menghidupkan Ramadhan”, atau “bagaimana cara yang sewajarnya?” atau “saya tidak bermotivasi untuk menghidupkan Ramadhan” dan pelbagai persoalan lagi.

Sudah tiba masanya umat Islam hari ini berhenti bertanya “apa”? Atau “kenapa”? Atau memberi pelbagai alasan. Umat Islam perlu berfikiran positif dan mesti berkata: “Aku boleh melakukannya dan sama-sama mengambil bahagian”. Sikap inilah yang perlu ada pada jiwa umat lslam hari ini tanpa mengira jantina, umur, pangkat dan kedudukan. Marilah kita memperkuatkan tekad dan azam untuk sama-sama menyertai sahabat-sahabat kita yang lain untuk menghidupkan hari-hari terakhir Ramadhan pada kali ini. Namun, sekiranya kita tidak mampu untuk bersama-sama sahabat kita di rumah Allah, maka kejutkanlah ahli keluarga supaya dapat sama-sama menghidupkan Ramadhan bersama seisi keluarga di rumah masing-masing.

Di kesempatan ini, marilah kita berusaha menghayati dan menghidupkan Ramadhan bersama-sama dengan pihak masjid lebih-lebih lagi untuk malam terakhir Ramadhan. Kita tidak pasti adakah kita masih mampu untuk meneruskan ibadat Ramadhan pada keesokan hari? Adakah kita masih lagi diberi nikmat untuk melihat dunia ini keesokan hari. Oleh itu, rebutlah peluang keemasan ini.

Ingatlah firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 18-19:

“Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya). Hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat Menyeluruh Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu jadi seperti orang yang telah melupakan Allah (tidak mentaati perintah-Nya), lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka sendiri (untuk melakukan ketaatan dan kebajikan). Mereka itulah orang yang fasiq”.

Oleh itu lakukanlah perancangan yang teliti dalam menempuh hari-hari Ramadhan. Jangan biarkan hari-hari terakhir Ramadhan berlalu begitu sahaja menjadikan kita lalai dan lupa kepada Allah SWT.

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa. Sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu dia berbuka maka wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain (di luar bulan Ramadhan). Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan (dengan ketetapan yang demikian) dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran; dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), serta kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur”. (Al-Baqarah: 185)

(Sedutan Khutbah dari JAIS)